Monday, 28 May 2012

Si bakhil yang tamak


Walaupun diberikan ruang masa yang amat sedikit, si comel Abby masih dapat menunjukkan dia sememangnya anak cik Dorih palong 15 yang bijaksana dan pintar. Segala cabaran diharungi ibarat meneguk air kosong je..... (yela senang je nak teguk air kosong kan? :p) Ketika ibu, zai dan aku pergi memberi sokongan kepadanya, sedikit pon dia tidak gentar. Bila ditanya "Abby cuak tak?" sambil memegang tangan yang panas suam-suam itu dia menjawab "ok je~ da hafal da~" mana taknya dia telah berpengalaman dalam pertandingan bercrita sejak pra sekolah lagi. Waktu itu dia mendapat tempat ke2 di peringkat daerah, tetapi menjadi johan di peringkat negeri. Malangnya, tiada peringkat kebangsaan.

Dengan sikap berselamba dan bersahajanya dia ke depan tanpa getar dan terus dia memulakan ceritanya~

SI KAYA YANG BAKHIL
Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia,
          Terima kasih tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian.Saya Nur Rabiah Adawiyah dari SK Palong 14 akan menyampaikan sebuah cerita. Kawan-kawan ingin tahu apa tajuk cerita saya?? Haa...Tajuknya ialah Si Kaya Yang Bakhil.
          Di dalam sebuah negeri, tinggal seorang peniaga yang kaya-raya. Hartanya sangat banyak malah dia mempunyai sebuah kapal yang boleh dibawa belayar ke merata dunia. Nama hartawan itu ialah Kelana.
          Kelana dan keluarganya tinggal di sebuah pulau yang besar. Di pulau itu terdapat ramai pekerjanya. Ada yang bekerja sebagai tukang kebun, tukang masak, tukang cuci pakaian, pembersih rumah serta pengasuh anak-anaknya. Dia juga mempunyai beberapa buah rumah banglow, deretan kedai, pelbagai kebun pertanian dan haiwan ternakan. Dengan erti kata lain pulau itu dimilikinya. Kaya sungguh Kelana ini kan kawan-kawan?
Kawan-kawan sekalian,
          Kelana suka menyimpan semua hartanya di dalam sebuah peti besi dan uncang kain di rumahnya.
          Kelana mempunyai sikap yang kurang baik. Walaupun dia seorang yang kaya, tetapi dia tidak suka menolong orang-orang miskin. Dia sangat sayang akan hartanya. Jika ada sesiapa yang meminta pertolongan daripadanya, orang itu pasti akan dihalaunya. ‘’Ishh, menyusahkan aku saja!’’. ‘’Sudahlah miskin, meminta sedekah pula!’’. ‘’Dia orang ingat harta aku ni senang senang nak beri kepada mereka!’’ rungut Kelana di dalam hati setiap kali ada peminta sedekah mendekatinya.
          Suatu hari datang seorang perempuan tua berjumpa Kelana, “ Tuan, saya sudah tiga hari tidak makan. Tolonglah tuan, saya sangat lapar” dengan suara yag terketar-ketar perempuan itu berkata. “APA? kau ingat aku ni jaga rumah kebajikan? Pergi kau dari sini….tak da masa aku nak layan kau…berambus kau”, tempik Kelana. Perempuan tua itu berlalu dengan linangan air mata serta perasaan sedih yang amat sangat, sambil menadah tangan ke langit dan berdoa, “Ya Allah, kau berikan lah petunjuk kepada si bakhil itu semoga dia akan insaf.”
          Kelana seorang yang angkuh dan sombong. Seluruh penduduk kampong benci kepadanya.
          Pada suatu hari, datang sekumpulan perompak ke pulau itu. Penduduk pulau berasa amat takut. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Kumpulan perompak itu sangat ganas. Banyak rumah telah dibakar. Perempuan muda ramai yang ditawan. Sesiapa yang melawan akan dibunuh.
          Kelana berasa amat susah hati. Dia takut semua hartanya yang banyak itu dirampas perompak. ‘’Aku mesti buat sesuatu, aku mesti selamatkan hartaku!’’ kata Kelana kepada isterinya.
Akhirnya Kelana mendapat satu akal. Dia bercadang membawa semua hartanya ke sebuah pulau lain. Isteri Kelana ragu-ragu dengan cadangan suaminya. Setelah dipujuk Kelana, akhirnya mereka bersetuju untuk belayar.
          Pada keesokan harinya, sebelum fajar menyinsing, Kelana pun belayarlah ke pulau lain. Dia berasa amat lega dapat lari daripada perompak-perompak yang jahat itu. Kapal Kelana sarat dengan muatan peti wang. Mereka belayar dan terus belayar.
          Tiba-tiba, pada suatu malam, berlaku ribut taufan. Hujan lebat telah turun,kilat sabung menyabung. Kapal Kelana beroleng-oleng dilambung ombak. Kapal Kelana hampir karam. ‘’Kita mesti buang harta ini ke laut. Jika tidak kapal ini akan karam’’. ‘’Kapal ini terlalu berat, peti wang pun mesti dibuang juga!’’, kata nakhoda. ‘’Apa?’’ kata Kelana dengan terkejut. ‘’Aku tidak akan buang peti wang ini. Aku belayar ini pun sebab mahu menyelamatkan hartaku!’’ kata Kelana dengan marah.
          Puas isteri Kelana memujuk suaminya tetapi tidak berjaya juga. Akhirnya nakhoda pun menasihati Kelana. ‘’Tuan...sayangkan harta ataupun keluarga? Jika harta ini tidak dibuang, kita semua akan mati!’’
          Kelana berasa serba salah, dibuang mati emak, ditelan mati bapak. Harta boleh dicari, nyawa tiada gantinya lagi.
          Angin semakin kencang, laut semakin bergelora. Kapal pula terumbang-ambing. Kelana perlu membuat keputusan segera. Harta itu adalah hasil titik peluhnya. Belum pun sempat kelana membuat keputusan dalam keadaan suasana yang kelam kabut itu, tiba-tiba seorang anak kelana telah tercampak ke dalam laut. “Ayah! Tolong! Tolong! Tolong!” “Ya Allah! Anakku jatuh ke laut.Tolong selamatkan anakku!” jerit kelana tetapi tiada siapa yang berani terjun ke laut kerana ombak terlalu besar. Isteri kelana menjerit kesedihan sehingga pengsan.
          Akhirnya Kelana berasa insaf. Dia pun membuang semua wang dan hartanya ke laut. Kini kapalnya sudah seimbang. Kapalnya dapat belayar dengan stabil. Akhirnya Kelana selamat bersama keluarganya.
          Sesungguhnya pengajaran dari cerita ini ialah
1.     Kita hendaklah sentiasa berbuat baik dengan semua orang
2.    Kita hendaklah menolong orang yang susah
3.    Kita janganlah tamak kerana kita pasti akan rugi
Kawan-kawan, dengarkan pantun saya,
Bunga Kemboja ditanam emak,
Bunga kasturi sebagai penyeri,
Hidup ini janganlah tamak,
Orang yang tamak selalu rugi.
Sekian, terima kasih.                                                                                                                                                    
     Selesai sudah bercerita, kami menunggu dengan penuh debaran. Rakan-rakan yang lain tidak bernasib baik. Cuma pasukan debat dan Abby saja yang mendapat tempat. Keputusannya, Abby mendapat tempat ke2 dan layak mewakili daerah ke peringkat negeri. Dia juga akan mewakili daerah jempol untuk pertandingan 'spontan'.Pelajar diberi soalan bergambar untuk difikiran selama 3  minit dan pembentangan selama seminit.                        

"Bunga kemboja ibu tak tanam
 Bunga kasturi pon tak heran
 Moga abby dapat hentam
 Peserta lain dan menjadi johan"                                
         

2 comments:

  1. Wow..spontan plak...macam MUET..haha
    gudluk abby!

    ReplyDelete
  2. super spotan final..hahaha abby masuk

    ReplyDelete